ISTERI saya menghidap penyakit di bahagian rahim menyebabkan dia tidak boleh melahirkan zuriat. Masalah itu juga menyebabkan hubungan kelamin kami terbatas.
Saya berasa amat tertekan dan pernah menyatakan hasrat untuk berkahwin lagi tetapi isteri menghalang. Bagaimana saya boleh mengatasi masalah ini?
Pernah satu ketika saya rasa mahu melanggan pelacur sebagai jalan untuk memenuhi kehendak batin saya yang tidak dipenuhi isteri sejak sekian lama. Mohon nasihat daripada Dr.
Suami Tertekan
Kuala Lumpur
WALAUPUN Islam membenarkan poligami dan sememangnya kebanyakan lelaki ada kecenderungan untuk mempunyai pasangan lebih berbanding wanita, jumlah perkahwinan poligami kurang berbanding perkahwinan biasa terutama pada masa ini.
Ini disebabkan beberapa faktor antaranya seperti kes anda iaitu halangan daripada isteri dan sebagainya. Masyarakat semasa terutama di kalangan feminis menentang poligami walaupun ia sebenarnya bukan penyakit masyarakat yang perlu ditentang.
Penyakit masyarakat sebenar adalah bersekedudukan tanpa nikah, pelacuran, perkahwinan sejenis, pergaulan bebas dan hidup membujang.
Itu yang sebenarnya perlu diubati dan diubah. Islam sebagai agama fitrah menggalakkan perkahwinan dan mengharuskan poligami bagi yang lelaki sahaja.
Islam pula meletakkan syarat dan tanggungjawab tertentu dalam kehidupan rumah tangga terutama kepada isteri dan anak. Dalam kes anda, keperluan untuk berkahwin lagi amat terdesak kerana keadaan isteri.
Sepatutnya isteri memahami keadaan itu dan tidak menghalang hasrat anda. Apa yang penting, Islam pula tidak menghalang hasrat dan keperluan anda untuk berkahwin lagi terutama dalam keadaan anda itu.
Di samping itu, kita perlu ingat kepada ajaran Islam dan jangan melanggar larangan Islam seperti berzina dan berhubung dengan pelacur.
Allah mengingatkan orang-orang mukmin dalam al-Quran: “Sesungguh-
nya berjayalah orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya. Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia. Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya dengan menunaikan zakat harta itu. Dan mereka yang menjaga kehormatannya. Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya, maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang yang melampaui batas.” (Surah al-Mu’minun (23): 1-7)


0 comments:
Poskan Komentar